Tips & Tutorial / Tutorial Google
Cara dapatkan review Google daripada pelanggan (tanpa melanggar peraturan)
Pelanggan yang puas jarang menulis ulasan tanpa diminta. Ini cara meminta dengan mudah, contoh mesej, dan peraturan Google yang perlu dipatuhi.

Cara paling berkesan untuk dapatkan review Google ialah meminta terus daripada pelanggan yang baru selesai berurusan dengan anda, menggunakan link ulasan rasmi dari Google Business Profile. Semakin sedikit langkah yang pelanggan perlu lalui, semakin ramai yang akan menulis. Yang penting, ikut peraturan Google supaya ulasan anda tidak dibuang.
Kenapa review Google penting
- Pelanggan membaca ulasan sebelum memilih bisnes, terutamanya untuk servis yang mereka belum pernah guna.
- Ulasan menyumbang kepada kemasyhuran, salah satu faktor ranking Google Maps.
- Ulasan memberi anda maklum balas sebenar tentang apa yang pelanggan suka dan apa yang perlu dibaiki.
Langkah 1: Ambil link ulasan anda
Google menyediakan link khas untuk pelanggan terus menulis ulasan. Menurut panduan Google, anda boleh mendapatkannya dari Google Business Profile:
- Log masuk ke akaun Google yang mengurus profil bisnes anda.
- Cari nama bisnes anda di Google atau buka profil di Google Maps.
- Pilih Minta ulasan atau Dapatkan lebih banyak ulasan.
- Salin link yang diberikan.
Simpan link ini di tempat yang mudah dicapai, contohnya sebagai mesej pantas di WhatsApp Business.
Langkah 2: Minta pada masa yang betul
Masa terbaik ialah sejurus selepas pelanggan berpuas hati: bateri baru dipasang dan kereta hidup, rumah siap dibersihkan, atau makanan baru dihidangkan. Jangan tunggu seminggu, kerana pengalaman itu sudah dilupakan.
Contoh mesej WhatsApp
Terima kasih Encik Ahmad kerana memilih kami hari ini. Kalau ada masa, boleh kongsikan pengalaman anda di Google? Ia sangat membantu bisnes kecil seperti kami. [link ulasan]
Mesej yang ringkas, sopan dan peribadi lebih berkesan daripada mesej panjang.
Cara lain untuk meminta
- Kod QR di kaunter atau di resit, yang membuka link ulasan.
- Kad kecil yang diserahkan bersama barang atau selepas servis.
- Email susulan untuk bisnes yang berurusan melalui email.
- Minta secara lisan dahulu, kemudian hantar link melalui WhatsApp.
Peraturan Google yang perlu dipatuhi
Google membuang ulasan yang melanggar polisi kandungan, dan profil yang berulang kali melanggar boleh dikenakan tindakan. Elakkan perkara ini:
| Dilarang | Contoh |
|---|---|
| Memberi ganjaran untuk ulasan | Diskaun, hadiah atau servis percuma sebagai balasan |
| Memilih hanya pelanggan yang gembira | Bertanya dahulu “puas hati?”, dan hanya hantar link kepada yang jawab ya |
| Ulasan daripada staf atau keluarga | Pekerja menulis ulasan untuk majikan sendiri |
| Ulasan palsu atau dibeli | Membayar pihak ketiga untuk ulasan |
Mintalah ulasan daripada semua pelanggan secara adil. Ulasan yang benar, walaupun ada yang kurang baik, lebih meyakinkan berbanding deretan ulasan sempurna.
Langkah 3: Balas setiap ulasan
Ulasan positif
Ucapkan terima kasih dan sebut sesuatu yang spesifik. Contohnya: “Terima kasih Puan Siti, gembira dengar rumah dah bersih sebelum tetamu sampai.”
Ulasan negatif
- Balas dengan tenang dalam masa sehari dua.
- Minta maaf atas pengalaman pelanggan, tanpa menyalahkan.
- Ajak berbincang secara peribadi, contohnya melalui WhatsApp.
- Kalau masalah sudah selesai, pelanggan mungkin mengemas kini ulasan mereka sendiri.
Pelanggan baru membaca balasan anda. Balasan yang profesional kepada ulasan negatif kadangkala lebih meyakinkan daripada ulasan lima bintang.
Paparkan ulasan di website
Ulasan sebenar juga patut ada di website anda, kerana ia salah satu daripada 7 perkara wajib ada pada website bisnes. Gunakan ulasan yang benar sahaja, dan dapatkan izin pelanggan kalau anda memaparkan nama penuh atau gambar mereka.
Kalau anda belum ada profil Google, mulakan dengan cara daftar Google Business Profile. Brand Hero juga boleh membantu menyusun profil dan website anda supaya pelanggan lebih mudah menemui dan mempercayai bisnes anda. Lihat servis kami.
